Sabtu, November 05, 2011

Berhenti menjadi umat menyalahkan orang lain.

Masa aku kat Terengganu hari itu, (cerita Terengganu lagi) tengah melepak depan rumah homestay adalah sekawan bangau tengah berjalan-jalan dengan kaki yang panjang tapi tak seksi macam Neelofa. Keadaan disitu sungguh aman, yang memecah kesunyian hanyalah deruan motor kapcai dan kereta buatan nasional yang menderu kelajuan secara gampang di jalan kampung.

Adik aku berlari-lari dan jerit, "Bangau!".

Setelah menjerit, ada sambungan nyanyian pula.

"Bangau oh bangau kenapa engkau kurus..."

Berhenti disitu.

Lagu itu umpama lullaby bebudak Malaysia, sehingga sekarang mungkin ibubapa masih mendendangkan demi menghiburkan anak mereka. Atau kemungkinan besar masuk kedalam silibus budak tadikan ataupun pra sekolah lagi.

Kepala aku ligat untuk mengingati setiap turutan cerita itu.

Kenapa bangau kurus.
Kenapa ikan tak mahu timbul.
Kenapa rumput panjang sangat.
Kenapa kerbau tak makan rumput.
Kenapa kerbau perut sakit.
Kenapa nasi mentah.
Kenapa kayu api basah.
Kenapa hujan turun.
Kenapa katak panggil hujan.
Kenapa ular nak makan katak.

Rasanya ramai yang familiar dengan lagu ini. Panjang, tapi dari teori saintisnya akan faham maksud rantai pemakanan si bangau akan makan ikan. Bangau adalah karnivor. Kerbau adalah herbivor kerana mengamalkan pemakanan rumput tapi masih ragu-ragu dengan kemampuan kerbau makan nasi, mentah pula tu. Rumput adalah primer kepada rantaian pemakanan dimana si ular adalah pemangsa terakhir (dalam rangkaian ini), pemangsa kepada katak.

Simbolik masyarakat kita, bila menyanyi suara sumbang dikata nak hujan sebab katak dan hujan terlalu sinonim sekali untuk masyarakat majmuk di garisan khatulistiwa.

Mak aku adalah salah seorang ahli persatuan tadika-tadika Islam se-Malaysia. Dia kata satu benda, dia tak setuju lagu ini diajarkan kepada budak. Sebabnya, lagu ini seolah mendidik dan menjadi doktrin pemikiran orang kita suka menyalahkan orang lain, berbanding mencari punca.

Misalan dalam lagu tersebut, 'rumput panjang sangat'. Pokoknya, saiz rumput itu panjang sangat. Disalahnya kerbau kenapa tak makan rumput itu. Mungkin si bangau yang kurus tadi yang cuba mencari ikan bergotong royong membersihkan rumput untuk mencari ikan.

Logiknya, memang bangau itu tiada pemangkas atau sabit sebagai kapasiti untuk memotong rumput. Itu cuma hanya siginifikan. Takkan kita nak membiarkan sahaja keadaan itu berterusan sehingga ada satu bantuan lain (dalam hal ini, kerbau adalah pihak ketiga) datang membersihkan keadaan rumput itu. Seperti juga, si kerbau sakit kerana makan nasi mentah, dan menyalahkan katak (punca utama bagi si kerbau) kerana memanggil hujan. Sepatutnya faham sifat si katak itu sendiri yang memanggil hujan, tapi hidup ini penuh pilihan.

Kenapa tidak memilih kayu api yang kering menggantikan kayu api yang basah dan menyebabkan nasi itu mentah, atau si kerbau itu sendiri yang mengambil jalan pintas tak mahu memastikan kayu itu kering dan dibantainya apa yang ada depan mata sahaja?

Dalam kehidupan seharian aku, yakni alam pekerjaan aku banyak mengalami benda yang sama.

Kenapa ini rosak, kenapa ini lambat, kenapa ini tak boleh.

Yang bakal keluar adalah pelbagai alasan, tak masuk akalnya, akan menyalahkan orang lain, menyalahkan pihak lain untuk menjaga diri sendiri. Kalau boleh tanggungjawab tak mahu jatuh kepada bahu sendiri, sebolehnya sehingga mati pun nak dibagi kepada pihak lain dan mahu terlibat langsung apa-apa risiko. Motifnya untuk senang sementara, bila masalah berulang semula akan kembali ke habit lama; menyalahkan orang lain.

Selasa lepas, aku tengok MasterChief Malaysia, seorang ketua ditanya kenapa pasukannya tidak berjaya, secara terus menyatakan "Orang itu bersalah sebab tak lakukan tugasnya." Bagi aku, ketua pasukan yang begini amatlah jijik pada pandangan aku.

Begitu juga isu kenapa banyak gejala rogol, dan ada sesetengah lelaki kata, "Dah perempuan pakai seksi macam itu!". Kalau aku jadi seorang yang menyalahkan orang lain, mungkin muka aku juga dah terpampang di dada akhbar sebagai seorang perogol bersiri. Bila ditangkap pihak berkuasa, aku akan kata "Dah amoy itu pakai kain terbelah, baju ketat terjojol buah dada. Tak kan tak nak merasa?"

Manusia buat silap, kesilapan ada ruang perbaiki, peluang boleh dicipta.

Menyalah manusia lain kerana kesilapan sendiri adalah dusta.

Salam Aidil Adha, dan Selamat Hari Lahir ke-24 untuk diri sendiri. Mungkin entri ini menjadi satu teras untuk aku menempuh baki kehidupan aku yang tak tahu bila akan berakhir.

Kebosanan mencipta kelainan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

depends utk ssorg menginterpretasikan lagu ini.kalo dlm kerja, lagu bangau ni membantu utk mencari root cause of an issue.

Linlin berkata...

selamat hari raya, selamat dan selamat.

azeyra berkata...

Salam aidiladha & selamat hari lahir....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...