Khamis, Januari 29, 2009

Atap Zink dan Sambal Kicap.

Cili hijau dipotong kecil.
Dimasukkan kedalam mangkuk kecil.
Disiram kicap Jalen, bukan kicap kipas udang.

Satu kata, satu rasa.

Nikmat. Dah lama tak makan nasi seringkas sebegini dikala cuaca panas terik di tenghari, sambil persekitaran separa hutan. Nyamuk menjadi teman dikala panas, ikan keli dikolam berlegar dalam ruangnya. Memang indah keindahan kampung, sunyi dari kota.

Tercapai hasrat nak pulang ke kampung sebelah ayah aku. Kampung yang mempunyai bendang, parit yang penuh dengan air, silap-silap boleh menangkap belut! Kalau nasib baik, pancing ikan boleh dapat.

Walaupun lauk diatas meja terlalu banyak, ini semua datangnya dari majlis-majlis di kawasan kampung (aku tak pergi), aku hanya berminat pada sayur campur dan ikan goring di atas meja. Walaupun ada daging lembu masak kari pedas. Aku abaikan lauk sebegitu, ikan goring menarik minat. Apatah lagi sebelahnya adalah sambal kicap.

Kung, kang, kung, kang.

Kung, kang, kung, kang.

(Bunyi ikan goreng diratah sambil dicicah sambal kicap)

Tidak semenanya, dikala panas terik, hujan datang bagaikan ribut. Mencurah jatuh keatas bumbung rumah kampung yang diperbuat daripada zink, sudah karat lagi. Bunyinya memecah kesunyian tengahari. Kalau bercakap tiada gunanya. Si nenek perlu memanggil cucunya dengan jeritan, cucunya perlu sambut dengan jeritan. Suasana sungguh bingit.

Aku tak peduli suasana itu, aku menjamah setiap suapan penuh enak, walaupun ada orang menjerit di sebelah aku: nenek aku dan ayah aku. Berbicara suatu yang serius dalam keadaan menjerit seolah-olah orang yang mendengar 10 meter jauhnya. Agak unik situasi itu.

Terima kasih, atap zink mencetus fenomena menjerit dalam rumah, membuatkan selera pada ikan goreng bertambah.

(Keesokan harinya, aku makan lauk yang sama walaupun ada tom yam depan mata)

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

1 ulasan:

zach berkata...

ganas+gelojoh=makan ikan bunyik kung kang kung kang

haha gelak jahat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...