Rabu, Oktober 01, 2008

Dari mana mahu aku mulakan...

Dari mana aku mahu mulakan?
Atau, menceritakan khabar sihat dari diriku tentang hari ini?
Atau, bermain dengan perasaan yang tiada kata namanya?

Hendak ku katakan ini entri raya?
Terpulang pada kamu, bagaimana kamu menjustifikasikannya.

6 tahun yang lalu, pagi raya yang penuh kenikmatan. Tengok sahaja pada meja dapur, terhidang sana-sini. Siapa yang datang, siapa yang pergi melawat. Sampul raya penuh di poket baju. Kalau sepuluh poket, sepuluh ruang itu berisi. Tak gemar aku berceloteh panjang lebar tentang hari itu, kerana kamu tahu bagaimana keadaannya.

Harap kamu ceritakan padaku sekali lagi, agar aku tidak lupa bagaimana cara menyambutnya!

3 tahun sudah, aku disini. 2 tahun lalu, pagi raya masih tidak lupa pada diriku. Masih mahu berbaju Melayu, mahu makan kuih-muih. Masih mampu tersenyum, masih mampu bergurau senda. Lihat sahaja entri terdahulu, aku masih mampu melakar senyum, walaupun orang kata aku menyimpan perasaan. Itu bukan diriku untuk bertindak hipokrit. Aku senyum, kerana raya masih aku ingati dan mahu aku menjadi sebahagian daripadanya.

Aku lihat baju melayu biru tua bergantungan, sampin hitam bertenunkan benang warna keemasan, songkok dalam kotak Converse di rak paling atas mejaku. Bukan itu yang ku pakai, tapi seluar sukan dan T-shirt hitam, kasut sukan.

Aku menyepak, aku berlari bersama rakan-rakan lain. Anggaplah hari ini seperti hari-hari biasaku. Hadir ke kelas, mendengar dan pulang.

Aku singgah ke rumah Mang, teringat rendang yang di masak semalam. Walaupun aku kurang membantu.

Katanya,
"Dah macam raya kan. Ada rendang, ada lemang walaupun segera, ada ketupat. Tapi tak ada orang datang,"

Aku cuma mengiyakan, semua masing-masing sibuk dengan kelas, peperiksaan, kuiz. Pernah kamu lihat keadaan sebegini. Aku bertuah kerana aku ada dalam situasi ini?

Aku tidur mencari tenaga untuk kelas petang pula. Biarlah lena menjadi teman aku hari ini. Ku harap lena ini meneutralkan segala perasaan tak bernama ini. Semoga aku bermimpi yang indah belaka, dan apabila bangun anggap semua di atas tak pernah berlaku. Aku harap semua itu adalah mimpi yang ngeri yang aku mahu hindarkan dari berlaku sekali lagi.

Aku tidur, kejutkan aku bila hari ini sudah berlalu. Biarpun mereka katakan ianya sekejap, kejutkan aku bila ia betul-betul berlalu pergi. Dan aku setia menunggu hari ini bakal gemilang semula, biarpun aku perlu menunggu untuk tahun-tahun yang mendatang. 2 tahun, 5 tahun, 10 tahun? Aku pasti hari itu akan datang kembali, cuma aku berdoa dan berharap aku masih ada di dunia ini pada ketika aku mahu merasai kembali.

Aku tidak lupa pada pembaca semua...SELAMAT HARI RAYA, terima kasih kerana mengikuti setiap tutur kata hatiku.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...