Sabtu, September 06, 2008

Cerpen: Oh! Jumaat.

(Siapa tak suka entri panjang, dinasihatkan jangan baca.)
Hari Jumaat, 11.45 pagi.

"Huh...nasib baik tak terlewat," keluhku.
Itu aku mampu katakan selepas bermimpi aneh di siang hari. Mimpi yang membuat aku terlalu penat, letih untuk bangun dari tidur yang mengasyikkan. Mimpi tadi, aku berlari terlalu banyak, siap berpeluh dingin walaupun kipas kecil putih ada disebelahku.

Ini yang mampu ku ingat mengenai mimpiku.
"Aku berjalan-jalan bersama rakan-rakan, berjalan di sebuah tempat yang aku ingin pergi; Eropah. Aku rasa begitu taksub dengan sejarah disini, pemandangannya. Aku berjalan-jalan sehinggalah hari aku pulang ke tanah air sudah tiba. Kami memilih pengangkutan udara sebagai medium pulang ke sana. Kami tiba di sebuah lapangan terbang yang besar, sehingga aku terasa kerdil berada didalamnya. Tapi jadual penerbangan kami tertangguh untuk tempoh yang lama. Kami bersetuju untuk meletakkan bagasi kami di loker berhampiran.

Ini yang aku rasa aneh, lagi 15 minit pesawat yang kami patut naiki hendak berlepas. Aku masih mencari-cari dimana loker aku simpan bagasi didalamnya. Rakan yang lain sudah pergi meninggalkan aku 'check-in', aku masih berlari-lari di ruang besar lapangan terbang. Aku berlari, dengan harapan aku jumpa di mana loker itu. Alangkah bodohnya, pesawat sudah berlepas, aku baru perasan ada no tertera di kunci loker itu. No loker dan tingkat berapa. Aku berlari-lari, lari, lari seperti dalam cerita Forest Gump, "Forest, Run, Forest", termengah-mengah sehingga aku jatuh terjelepuk umpama nangka busuk..."

Aku bangun. Terus berlari ke bilik air, basuh muka. Aku mengeluh sekali lagi. "Mimpi apakah itu?". Aku menggosok muka. Setelah beberapa minit mengembalikan minda tenang aku, aku capai tuala, berus gigi, dan pencukur. Hari Jumaat.

Masjid Itaewon. 2.00 petang.

Aku malas pulang ke rumah, memang niat aku hari ini hendak lepak di masjid sehingga solat terawih. Walaupun lama lagi, aku cuba isi masa terluang dengan apa yang sesuai sebagai mengimarahkan bulan suci Ramadhan. Aku renung, baca kitab suci disebelah. Beberapa seketika aku lihat sekumpulan manusia yang hampir aku semua kenali sedang duduk mengelilingi seseorang. "Sesi tazkirah, barangkali," itu yang muncul dalam benak fikiran aku. Aku cuba menghampiri kumpulan itu dan bersalam-salaman dengan manusia disitu yang rata-ratanya adalah junior aku disini.

Teringat zaman belajar bahasa, aku selalu ikuti majlis sebegini. Apabila masuk ke kolej, disebabkan komitmen kelas, aku jarang ikuti. Mendengar perbualan sesama mereka, aku dapat tangkap cerita bahawa ada seorang kawan aku kenali terlantar di hospital. Khalid namanya.

"Ini peluang aku nak pergi hospital," monolog sendirian.

Aku ikut sahaja jejak Topek dan rakan serumahnya pergi ke Hospital Hannam. Entah, aku rasa kali terakhir pergi ke hospital entah bila. Hari ini banyak benda yang tak pernah aku buat, aku lakukan.

Khalid aku kenalinya sebab dia manusia yang terlalu meminati basikal. Bayangkan basikal dia berharga 700,000 Won. Lebih elaun sebulan bagi pelajar JPA di Korea. Hebat, bagiku. Mana tidaknya, sebab hobi habis berlabur. Aku pun apa kurangnya, D80 aku lebih mahal dari basikalnya. Berborak seketika dengannya baru aku tahu apa sakit dia yang sebenar. Gout. Fikirku, penyakit ini biasa pada orang tua. Allah nak tunjuk sesuatu. Tak kira usia tua muda, penyakit boleh datang dan pergi. Ada sebab kaki aku digerakkan ke sini.

Aku pulang berjalan kaki ke masjid semula walaupun aku datang ke sini menaiki bas. Baru aku sedar setelah 3 tahun di sini. Masjid memang tinggi terletak atas bukit. Tak hairan kenapa boleh termengah-mengah mendaki separa bukit jalan menuju ke masjid. Sempatlah juga aku dan Topek solat Asar disini. Selepas beberapa helai ayat Al-Quran aku baca, aku bergerak ke bank berhampiran. Dengan duit itu aku ingin beli kad telefon. Risau aku telefon keluarga aku menggunakan 'direct call', maksudnya mahal. Mungkin bil bulan ini sedikit terbabas dari kebiasaan aku bayar.

Bawah pokok depan Masjid Itaewon, 4.50 petang.

Tak tahu macam mana nak membunuh masa yang masih panjang ini. Aku seluk karung guni, gelaran untuk beg yang selalu aku bawa ke kolej. Ada novel. The Kite Runner. Lagi beberapa bahagian aku boleh habiskan hari ini. Aku sambar iPod dari poketku, sumbat telinga dengan 'earphone', bermulalah menghayati karya hebat Khaled Hosseini. Terlalu khusyuk aku baca, terlalu pantas. Bahasa yang mudah tidak terlalu berat seperti novel bersiri Sherlock Holmes yang minati, dan jalan cerita yang segar.

Banyak orang lalu-lalang dihadapanku. Manusia yang duduk disebelah saling bersilih ganti. Kereta yang ada didepanku juga bertukar jenama, bertukar pemandu, bertukar warna. Cuma aku masih dibawah pokok ini menatap helaian muka surat coklat novel indah ini.

Tengah aku menatap novel ini, ada bayang-bayang kecil dihadapanku. Aku rasa ada manusia sedang memerhatikanku. Aku angkat kepalaku ke hadapan. Ada budak kecil berbaju biru, ditangannya setin minuman jus epal. Minuman tidak bergas yang selalu aku minum selepas bermain bola di padang kolej. Aku tenung budak itu. Dia memerhati tepat padaku. Aku cuba membalas dengan senyuman. Tiba-tiba muka dengan mencebik seperti hendak nangis. Aku risau kalau-kalau dia berteriak tiba-tiba dihadapanku. Aku mengalihkan pandangan aku semula pada bait-bait novel ditanganku.

Aku angkat kepala semula. Budak kecil tadi sudah pergi bersama bapanya. Aku lihat bapanya, bangsa Pakistan, aku teka. "Argh, susah betul nak kenal orang berbulu lebat," aku mengomel.

Beberapa minit berlalu. Aku lihat jam di tanganku. Baru pukul 5.25 petang. Sudah beberapa album dalam iPod aku bertukar-tukar. Aku rasa lagu tema untuk petang ini, Disenchanted, nyanyian My Chemical Romance. Walaupun bukan lagu single yang popular di radio, bagi aku lagu ini memang sedap didengar. Sesuai dengan petang ini, sejuk. Petanda angin musim luruh ingin datang menghiasi ruang udara Seoul.

Tangan aku ada novel, telinga aku disumbat 'earphone'. Ada seseorang bagi salam, Assalamualaikum. Aku tak tahu dari mana datang. Aku jawab sahaja, mungkin salam tadi untuk diriku. Aku cabut 'earphone', sisip muka surat novel. Mata aku melilau siapa yang memberi salam tadi. Dihadapan aku ada manusia. Rasanya umur dalam linkungan 30-an. Badan gempal. Berkaca mata, berseluar khaki dan berkasutkan kasut sukan biasa. Aku rasa dia yang memberi salam tadi. Dia senyum kepadaku, aku membalas semula. Dia duduk disebelahku. Aku tak tahu dia berasal dari mana. Kalau dia dari Malaysia, mungkin senang aku mulakan bicara. Kalau dia dari negara seberang? Aduh.

Aku diam seribu bahasa dengan harapan dia mulakan bicara. Dia hanya merenung novel di tanganku. Dalam beberapa saat dia mengalihkan matanya kepada kalimah 'Allahuakbar' di depan kubah masjid yang berwarna hijau. Aku yakin dia tak berminat untuk berkata sesuatu denganku. Aku sambung semula dengan pembacaanku.

Dah nak hampir waktu berbuka. Seperti keadaan pertama. Ada kaki dihadapanku. Dia berdiri agak lama didepanku. "Siapa mamat ini, macam kenal kasut Vans ni." aku cuba bermain teka-teki dengan diriku. Baru nak menjawab persoalan tadi, bayang-bayang tadi menyergah diriku. Separuh terkejut dibuatnya.
"Syamim" kataku.
"Khusyuk baca..."
"Best baca,"
"Awal sampai,"
"Dari selepas solat Jumaat tadi,"
"Memang awal tu,"
"Mmm..."
"Oklah, nak wudhu dulu,"
Sampai situ perbualan kami. Aku sambung semula.

Waktu hampir berbuka, 6.30 petang.

Dah ramai pelajar Malaysia ada di perkarangan masjid. Kami berborak mengenai universiti mana yang terbaik. Pendebatnya Abe dan Mun. Rancak. Aku hanya menokok tambah. Aku rasa sejuk, mungkin dah lama sangat aku diluar. Memang pelik udara atas bukit ini. Sejuk bila malam. Aku naik masuk kedalam masjid, ambil 'sweater'. Aku kembali ikut perbulan mereka. Dah makin ramai warga asing masuk ke perkarangan masjid. Kami semua masuk ke ruang makan, menunggu waktu berbuka puasa.

Selepas terawih, 11.00 malam.

Imam tahfiz. Lama nak habis satu juzu. Imam pertama tadi agak laju bacaannya. Tapi imam kedua pula mendayu-dayu pula bacaanya. Nak mengantuk pun ada. Nafas aku berbau kambing. Melekat bau kambing dalam kerongkong aku. Buka tadi lauk kari kambing dan ayam masak apa entah. Resepi orang Timur Tengah. Aku balun sahaja. Nak tenaga terawih. Kebetulan, habis terawih, perut memulas. Aku harap bas yang aku bakal naiki bergerak pantas. Sepantas mungkin. Dari Itaewon, Geongdok, Yodengpo, Sindorim dan Dongyang Technical College Station. Aku berjalan pantas ke rumah Muse dan Sood. Dan pasti tahu apa yang berlaku. Tak perlu aku ceritakan.

Langkah kanan. Sood baru balik dari Malaysia. Ayam KFC yang dijamunya. Dari Malaysia lagi. Terubat rindu ayam Malaysia. Siapa suruh aku tak balik Malaysia. Sedap, ungkapan dari mulutku. Aku rasa cukup kenyang malam ini. Macam tak perlu bersahur.

Aku singah ke rumah Mang Ganu. Bertanya khabar, dia pun baru pulang dari Malaysia dan bertanyakan mengenai bidang kejuruteraan automatif. Dia bagiku arif sangat tentang benda ini. Sebab itu nama ID dia, camprodohc. Nama sempena enjin pertama PROTON. Selepas itu aku singgah bilik Zul. Ingin juga aku lanjutkan soalan aku pasal ini kepada dia tapi dia tiada di bilik. Yang ada dibilik itu ada Sham dan Rubhendran.

Mereka sedang menyiapkan juadah berbuka esok. Ada mesyuarat mengenai perlembagaan dan isu terkini, ABEEK. Aku rasa ingin pulang ke rumah cepat. Menulis cerita hari ini sebelum ayat-ayat seperti diatas hilang dari fikiranku.

Sebelum pulang ke rumah aku singgah ke 7 Eleven, beli kopi Double Shot. Aku minum sambil tangan aku menari...

2 perkataan untuk hari ini: Aku tenang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...