Rabu, Oktober 22, 2008

Kasut Bola (Cerpen Tak Siap)

Pengarang: Mohd Adib B Yazid

“Dush…”

Jauh bola itu melayang. Riuh rendah padang hari ini. 2 kumpulan budak kecil sibuk bermain bola sepak. Angin petang itu terlalu lembut berlalu, tak seperti hari-hari lalu. Sejak kebelakangan ini cuaca sangatlah panas sehingga aku pun tak mahu duduk lepak di tepi padang sekolah. Mata aku merayau mencari hiburan petang hari. Harap-harap terjumpa atau terlihat suatu yang mampu hiburkan hari aku hari ini. Cuma berseorangan duduk di bangku batu yang usang. Lalang tumbuh menipis dibawahnya.

Pertahanan, penyerang, penjaga gol. Watak utama dalam sebuah pasukan bola sepak. Sukan yang satu-satunya aku paling gemari, bola sepak. Dari kecil lagi aku sudah didedahkan dengan sukan ini. Sukan yang peraturan mudah difahami dan mudah dipelajari. Syaratnya, jangan guna tangan, guna kaki.

“Abang, hati-hati!,”

Salah seorang dari kumpulan kanak-kanak menjerit kepadaku. Bola lambung kearah aku, sempat aku elak. Kalau tidak, habis benjol kepala. Dahlah tidak bermain, sakit pula yang dapat.

“Sorry, bang. Nasib baik tak kena,”

“Tak apa. Abang tak apa-apa. Adik teruskan bermain,”

“Terima kasih, bang,”

Perbualan singkat yang menyenangkan. Sudah menggembirakan hatiku. Aku tahu aku bukannya seperti bangku batu yang aku duduki. Ada manusia masih sedar bahawa ada makhkluk sedang memerhatikan mereka, iaitu aku. Aku lihat jam sudah 5.30 petang tapi cuaca masih terik. Kalau masa kecil aku keluar rumah pada waktu begini pasti aku sudah dimarahi ibuku. Mana tidaknya, saki baki cahaya matahari masih bersinar. Ibuku tak mahu wajah putihku bertukar gelap. DIa mahu wajah anaknya putih seperti wajah ayahku; putih dan hensem katanya.

“Argh, kalau dulu aku ikut cakap ayah, apa akan jadi dengan diriku sekarang?”

Aku mengeluh sendirian. Bermonolog luaran. Harap tiada siapa mendengarnya. Sejak kebelakangan ini aku selalu meratapi nasib aku yang tak sudah-sudah.

Aku merenung kesilapan silam…

“Amir, esok petang kita ada training di sekolah. Cikgu Azam pesan suruh bawa kasut.”

“Baik. Kalau ibu aku izinkan, aku pergi. Kalau tak…”

“Alah, penting ni Mir. Sabtu ini kita ada match. Kau dahlah orang penting, sapa nak score nanti,”

“Aku cuba cakap dengan ibuku. Jumpa esok!”

Aku terus mengayuh basikal dengan lajunya keluar dari perkarangan sekolah. Aku cuba menamatkan perbualan ini agar cepat sampai ke rumah. Ibuku hari ini sudah berjanji mahu masak makanan kegemaranku hari ini, ayam masak kicap. Aku suka masakan yang dibubuh kicap didalamnya. Tak kisah kalau seringkas telur mata kerbau di tuang kicap, aku pasti akan menggemarinya. Ayah aku kata, aku hantu kicap. Kalau ibuku sibuk menjahit baju yang ditempah orang lain sehingga tak sempat hendak menyediakan hidangan tengahari, aku makan nasi berlaukkan ikan masin dan kicap. Ayah aku peneman ketika aku menjamu makan tengahari.

Ayahku seorang penoreh getah. Keluar rumah awal pagi, tapi tidak lupa untuk menemaniku ketika waktu tengahari. Ayahku kata masa terbaik dalam kehidupan kita adalah masa kita dengan keluarga kita, ayah dan anak, ibu dan anak, ayah dan ibu. Sebab itu ayah kalau boleh mahu setiap hari menghantar aku ke sekolah menaiki motor Honda Cup 70 buruk itu. Aku sentiasa menolak pelawaan. Alasannya, aku suka pergi ke sekolah bersama rakan sebaya aku.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam. Ha, dah balik pun anak abah,”sahut ayahku di pintu rumah.

“Emm. Abah dah makan ke belum. Lapar la,”

“Belum. Nak makan? Jom, mak dah masakkan…”

“Ayam masak kicap kan?” aku cuba meneka.

“Eh, mana tahu? Pandai anak abah,” ayahku memuji.

“Ibu dah bagi tahu dah,” kataku.

Aku berlari ke arah dapur. Beg sekolah aku campak di pintu bilik. Bau kicap masih berlegar-legar di ruang dapur. Seperti ibuku mahu sahaja siap masak.

“Abah, ibu mana?” soalku kepada ayahku.

“Ibu pergi rumah Cik Peah. Hantar baju. Kenapa?” balas ayahku.

“Tak ada apa-apa. Abah tunggu Mir kejap. Nak solat baru makan,” kataku.

“Baik, abah tunggu. Jangan lama-lama. Lapar ni,” balas ayahku lagi.

Aku segera tunaikan kewajipan aku. Walaupun aku baru berusia 12 tahun, aku rasa kewajipan ini wajib aku penuhi. Kalau tidak bermula sekarang, bila lagi. Kebiasaan aku suka mandi dahulu baru solat. Peluh mengayuh basikal pulang ke rumah membuatkan aku tidak selesa bersolat dalam keadaan sebegitu. Sebenarnya aku suka mandi di kolah. Waktu sebegini, tanpa sesiapa sedari aku diam-diam masuk ke dalam kolah. Berlagak seperti aku berada di dalam kolam renang. Pernah adik aku Aiman, cuba-cuba meniru langkahku mandi di kolah. Tapi ayah aku sedari perbuatan tersebut, habis dimarahinya semalaman. Sehinggakan adik aku cuba mengugut tidak mahu datang ke sekolah. Adik aku seperti aku juga, minat bersukan. Cuma waktu dia senang dari aku. Pulang dari sekolah sesi petang terus pergi ke padang. Sukan yang diceburi bukannya bola sepak sepertiku tapi olahraga yang diminatinya. Aku rasa dengki dengan adik aku. Apa yang dia minta dari ayahku mudah saja dituruti. Kasut olahraga, baju sukan dan sebagainya. Aku mahu juga rasa seperti adik aku tapi memikirkan kasut bola yang aku mahu beli mencecah ratusan ringgit, aku batalkan niat.

Aku bercadang ketika waktu makan tengahari nanti, aku mahu mengajak ayah ke pekan. Aku mahu dia membelikan kasut bola yang aku mahu.

“Sedap tak lauk ibu masak,” soal ayahku.

“Mestilah sedap…”aku cuba menjawab seperti endah tak endah.

“Kenapa ini, macam ada suatu tak kena je,”soal ayahku semula.

“Tak ada apa-apa. Cuma…” aku cuba berdalih.

“Cuma apa? Bagi tahu abah. Mana tahu abah boleh tolong,” ayahku member cadangan.

“Abah…” aku masih berfikir mahu diluahkan atau tidak.

“Duit sekolah ke?” ayahku cuba meneka.

“Tak,”

“Habis itu?” soal ayahku dengan raut kebingungan.

“Abah. Abah, boleh belikan Amir sepasang kasut bola tak?,”

“Kasut bola rupanya. Abah ingat apa tadi. Boleh kalau perlu sangat-sangat,”

“Macam itu, minggu ini kita ke pekan nak tak?” aku memberi cadangan.

“Boleh. Tapi jangan mahal-mahal. Banyak benda abah belum selesaikan lagi,” kata ayahku.

Aku rasa selesa kerana dapat meluahkan hasrat besar aku pada ayah. Selepas makan, aku duduk di amben luar rumah terbayang-bayang kasut bola yang aku idamkan. Hilang risau aku sebelum makan tadi. Aku takut ayah akan menidakkan hasrat aku. Duduk di amben luar kadangkala menimbulkan ketenangan. Cuaca di luar tidaklah sepanas seperti padang sekolah. Persekitaran rumah aku redup dengan pohon redang di kiri rumah dan pohon rambutan di depan rumah. Angin bertiup sepoi bahasa menambahkan lelap petang hari. Aku sudah mula bermimpi kasut bola yang bakal aku miliki. Aku tunggu ibuku pulang dari rumah Cik Peah dan aku mahu khabar berita ini pada ibuku. Aku hari ini rasa bertuah kerana masih memiliki ayah yang memahami isi hati aku walaupun sudut hati aku, aku tidak mahu menyusahkan keluarga.

(Tiba-tiba, idea putus)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...