Khamis, Januari 29, 2009

Atap Zink dan Sambal Kicap.

Cili hijau dipotong kecil.
Dimasukkan kedalam mangkuk kecil.
Disiram kicap Jalen, bukan kicap kipas udang.

Satu kata, satu rasa.

Nikmat. Dah lama tak makan nasi seringkas sebegini dikala cuaca panas terik di tenghari, sambil persekitaran separa hutan. Nyamuk menjadi teman dikala panas, ikan keli dikolam berlegar dalam ruangnya. Memang indah keindahan kampung, sunyi dari kota.

Tercapai hasrat nak pulang ke kampung sebelah ayah aku. Kampung yang mempunyai bendang, parit yang penuh dengan air, silap-silap boleh menangkap belut! Kalau nasib baik, pancing ikan boleh dapat.

Walaupun lauk diatas meja terlalu banyak, ini semua datangnya dari majlis-majlis di kawasan kampung (aku tak pergi), aku hanya berminat pada sayur campur dan ikan goring di atas meja. Walaupun ada daging lembu masak kari pedas. Aku abaikan lauk sebegitu, ikan goring menarik minat. Apatah lagi sebelahnya adalah sambal kicap.

Kung, kang, kung, kang.

Kung, kang, kung, kang.

(Bunyi ikan goreng diratah sambil dicicah sambal kicap)

Tidak semenanya, dikala panas terik, hujan datang bagaikan ribut. Mencurah jatuh keatas bumbung rumah kampung yang diperbuat daripada zink, sudah karat lagi. Bunyinya memecah kesunyian tengahari. Kalau bercakap tiada gunanya. Si nenek perlu memanggil cucunya dengan jeritan, cucunya perlu sambut dengan jeritan. Suasana sungguh bingit.

Aku tak peduli suasana itu, aku menjamah setiap suapan penuh enak, walaupun ada orang menjerit di sebelah aku: nenek aku dan ayah aku. Berbicara suatu yang serius dalam keadaan menjerit seolah-olah orang yang mendengar 10 meter jauhnya. Agak unik situasi itu.

Terima kasih, atap zink mencetus fenomena menjerit dalam rumah, membuatkan selera pada ikan goreng bertambah.

(Keesokan harinya, aku makan lauk yang sama walaupun ada tom yam depan mata)

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

Budak Asrama

Budak Asrama Dan Tidur Lenanya…

AKU MEMANG DENGKI DENGAN SITUASI INI!

Tak tipu. Ada rasa perasaan malang ketika ini tapi bukan bermakna ini entri yang penuh emosi menyalahkan dan dipersalahkan. Semata-mata fakta yang perlu diteliti.

Kembali 9 tahun lalu dimana aku baru masuk asrama sebagai pelajar tingkatan 1. Setiap kali aku pulang dari asrama, secara tanpa paksaan aku akan tidur lebih dari waktu tidur manusia biasa. Aku fikir itu bukan fenomena luar biasa, tapi biasa dikalangan budak asrama macam aku, aku rasa saja.

Tapi, setiap kali aku bangun lewat pasti aku dileteri dan ditubi-tubi dengan contoh anak orang lain yang rajin bangun pagi menolong keluarga mereka. Tak seperti aku ketika itu, hanya membuta saja. Maklumlah, budak baru balik dari asrama…

Aku dari tingkatan 01 sampai 05 aku duduk asrama. Ini bukan paksaan keluarga, ia adalah permintaan sejak aku darjah 5 lagi. Aku rasa macam kehidupan asrama lebih seronok dari duduk luar, walaupun ada sesetengahnya mengatakan kehidupan asrama terkongkong, tak tahu kehidupan luar. Aku setuju pada ‘point’ ini. Pandangan aku, duduk asrama yang menjadikan aku macam orang sikit. Aku bukan manusia yang mudah bergaul dengan orang, maka dengan itu aku jadikan asrama sebagai latihan aku mengenali manusia. Setuju atau tidak, tinggalkan komen kamu.

Berbalik isu dengki, tengahari tadi aku menjemput adik aku dari asrama dia. Dia balik, letak barang, membuta sampai sekarang, dan entri ini ditaip ketika jam sudah menjelang tengah malam. Sudah berjam-jam adik aku tidur, bangun pun untuk solat saja. Selebihnya tidur tanpa makan. Aku pun cuba kejutkan pada waktu petangnya…

“Woi, bangun oi. Dah Maghrib!”

Mak aku bersuara dari dapur…

“Biarlah, baru balik dari asrama…”

O-o-o. Pergh. Ada ‘backup’ boleh tidur lama. Aku duduk asrama juga dulu, tapi tak dapat keistimewaan sebegini. Dahlah tidur melintang depan TV. Lepas itu 15 minit lepas Maghrib, dengan mamai-mamai dia bangun…

Ada suara ‘backup’ lain…

“Pergi tidur dalam bilik sana,”

HOH!. Bertambah-tambah kesyahduan peristiwa dikala senja. Ayah aku siap suruh sambung tidur lagi!. Ternganga seketika memandang siling. Ingat dulu kalau aku tidur macam gitu, dah dihempuk dengan bantal keras lagi.
Itulah hakikatnya, aku menyedari, inilah yang diterima sebagai anak sulong. Ayah ibu kita belajar mendidik anak dari anak sulong dia. Kira macam eksperimen, tapi aku tak kisah. Tak simpan dendam pun. Anak sulong beb, kalau di sekolah sudah diajar, anak sulong adalah contoh. Aku pernah cakap pada adik aku, jangan jadikan aku contoh. Cari orang lain, sebab aku tak suka orang mencontohi aku… aku pun tak suka mencontohi anak orang lain.

Kepada sesiapa yang lepas ini sudah beranak pinak, atau memang sudah memilik anak, dan anak kamu baru pulang dari asrama, suruhlah dia tidur puas-puas.

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

Isnin, Januari 19, 2009

Anugerah Juara Lagu Entah-Ke-Berapa

23 kot? A’ah yang ke-23.

Maaf. Aku lemah bab nombor.

Berkesempatan semalam menonton salah satu anugerah berprestij di Malaysia, Juara Lagu. Aku rasa anugerah ini memang betul-betul aku minat sejak berjinak-jinak dengan muzik. Aku mula minat muzik sejak darjah 2, rasa dengki dengan budak lelaki depan aku yang sangat pandai main rekoder.

Tak sangka 2 tahun berturut-turut band yang dikatakan berasal dari indie berjaya menawan anugerah Juara Lagu. Dulu Estranged, sekarang Meet Uncle Hussain. Lepas ini apa pula? Banyak sangat band indie sekarang di Malaysia. Ada yang mahu dikenali dalam dunia underground, tak nak main mainstream. Ada yang kata band indie yang main mainstream tak boleh gelar band indie lagi. Macam-macam…

Betulkan aku kalau tersilap, aku bukan pengkritik bebas muzik dan aku rasa memang tak layak muzik yang dibawa oleh mereka. Tapi secara jujur aku memang suka indie band. Sebab lagu mereka sedap, ada jiwa, ada seni. Mampuslah apa orang nak kata.

Ok. Juara lagu semalam: Jumpa Pakcik Husin dengan lagunya Lagu Untukmu. Aku tahu lagu ini dari drama K.A.M.I, drama Melayu ‘feveret’ aku (drama Melayu lain adalah Kekasihku Seru). Tak sangka lagu ini menang. Sebelum mereka diumumkan pemenang, aku selalu membuat pemikiran rawak yang rambang, dan hati aku berkata Faisal Tahir menang, rupanya salah. Hampeh!.

Tanniah kepada Meet Uncle Hussain. Lepas ini masukkan lagu Halusinasi pula, yer.

Faisal Tahir adalah salah satu ‘feveret’ artis aku. Siapa gelak, aku sepak. Tak tipu, dia artis Malaysia yang berbakat walaupun dia adalah peserta rancangan realiti dahulu. Mula-mula aku tak minat sangat Faisal Tahir. Inilah cerita macam mana aku mula dengar lagu dia berulang-ulang kali…

Watak: Shidi. Dia adalah seorang ahli bina badan dan amat minat Faisal Tahir. Citarasa dalam muzik barat seperti HIM, Strokes, Billy Talent dan macam-macam lagi tak boleh dipertikaikan. Pernah jadi rakan serumah dan sebilik. Aktiviti lapang dia adalah melalak lagu yang agak best. Kira macam radio tapi menyiarkan bahagian menarik dalam satu lagu.

Bodoh. Aku dah mula melalut. Berbalik dari asal, Shidi ini baru pulang dari Malaysia. Dia menunjukkan baju Superman yang ada tand S besar itu. Dia kata ‘Faisal Tahir beb’. Rakan lain seperti Guo menyokong tindakan itu. Guo juga manusia yang minat Faisal Tahir. Guo kata dia seperti Faisal Tahir sebab dia boleh menggayakan rambut seperti artis itu dan menjerit seperti artis itu juga.

Bahagian tragisnya, dia seorang yang gemuk dan hitam. Jangan bayangkan Guo adalah Faisal Tahir.

Siapa Faisal Tahir? Aku tak menahu sangat pasal artis itu, lalu aku cuba mendapatkan lagu yang dinyanyikan artis itu. Sumber album itu dirahsiakan. Nanti menimbulkan masalah pada pemilik album tersebut.

Aku dengar satu album. Memang menjadi kebiasaan kalau aku nak ‘judge’ artis itu, berdasarkan nyanyian dalam satu album, bukan satu lagu. Dengar, dan dengar…

Album dia termasuk album Melayu ‘feveret’ aku…

Macam mana nak eja nama dia? Faisal ke Faizal?

Walla.

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

Gadis Melayu.

Ini berlaku pada masa-masa yang sudah basi.

Malam Jumaat yang suram. Adik laki dah masuk tidur awal. Kalau dia ada bolehlah sakat dia apa ke. Memang suram, aku pun sambung dengan kerja aku yang tergendala minggu lalu, sambil tengok drama Jepun.

Atas meja dapur ada ‘papa roti’ yang sudah sejuk. Aku pun capai roti tersebut lalu bersimpuh didepan TV. Aduh, memang tak ada cerita menarik. Ada pun drama Puaka Niang Rapik, aku malas nak tengok cerita bersiri dari tengah-tengah cerita, nanti banyak benda tak tahu.

Tekan sana, tekan situ, ada slot rancangan realiti ‘Gadis Melayu’. Memang melambak sangat rancangan realiti di Malaysia, sampai entah-hapa-hapa-entah konsep yang dibawa. Macam rancangan ini, ‘Gadis Melayu’. Rancangan yang mencari gadis yang betul-betul penuh konsep kemelayuannya di seluruh Malaysia, hebat!. Tengah sedap-sedap aku menonton seorang diri, ayah dan mak aku pulang dari berjalan-jalan, ikut sekali duduk diruang tamu menonton rancangan ini.

Hari ini bakal diumumkan siapa Gadis Melayu pertama TV9…

…dan si gadis 2 dari kiri diumumkan dia adalah Gadis Melayu.

Gadis itu memberi ucapan mengatakan dia akan melaksanakan tugas sebagai ikon gadis melayu. Tak tahu apa tugasnya, aku rasa misi dia nak suruh gadis melayu supaya bersopan-santun, jaga tata tertib, kebudayaan melayu, cakap lemah-lembut, muka manis, pakaian tutup aurat, bla, bla, bla…

Apa sebenarnya konsep sebenar yang digambarkan gadis Melayu?

Aku kurang faham. Biar apa pun makna, teori, pengertian gadis Melayu, aku masih boleh kata gadis melayu menawan. Sebab aku orang melayu, nak cakap gadis German cantik, kang dituduh lupa bangsa pula…

Lepas ini yang boleh masuk pinang pemenang Gadis Melayu Pertama TV9 mesti ada duit berjuta-juta, kereta besar, pangkat datuk. Yelah, gadis yang betul-betul Melayu, siapa tak nak kan?

Adakah entri kali ini berunsurkan kritikan melampau?

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

[Bosan Lampau 03] Perempuan, Isteri dan …

Aku tak tahu kenapa masa kecil-kecil dulu, pakcik aku suruh masuk tidur dikala cerita ini ditayangkan di RTM lewat tengah malam. Punyalah aku ‘curious’ habis sampailah sekarang. Aku gagahkan juga mata aku menonton filem lama ini…

Wow, ini kali pertama aku tengok Sofea Jane gelap habis. Bukan putih melepak macam sekarang. Memang patut pak cik menegah aku tengok cerita ini masa kecil-kecil…

Kalau tidak, mesti aku dah tanya macam-macam babak yang aku kurang faham sebab babak tersebut ada unsur 18SX.

Walaupun filem Perempuan, Isteri dan dot dot mendapat kritikan hebat pada zamannya, aku rasa filem ini berani dengan jalan cerita sebegini. Sebab ianya filem Malaysia! Lagi-lagi waktu dan latar masa cerita ini ditayangkan di pawagam.

Aku rasa filem ini meletup di pawagam kot masa dulu-dulu. Aku rasa…tak berani cakap lebih. Aku rasa…

Tapi aku suka lakonan hero dalam cerita ini, sebab dia berlakon dalam drama Melayu kesukaan aku, Cinta Si Penggali Kubur. Teka siapa nama dia?

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

[Bosan Lampau 02] My Father.

‘Instinct’ aku kata filem ini ‘best’. Aku menunggulah siaran cerita ini, siap pasang alarm di handset aku siap. Memang semangat nak tunggu nak tengok cerita ini.

Penantian aku berbaloi. Jalan cerita ini memang meragut jiwa sanubari aku. Mana taknya cerita ini berjaya membuatkan air mata bergenang dikelopak mata. Isk, segan kalau ada siapa yang perasan.

Filem ‘best’ ini adalah buatan Korea. Walaupun aku dah duduk sana hampir 3 tahun lebih, tak pernah pula dikhabarkan cerita ini bagus. Ada juga kawan-kawan Korea cuba mempromosikan filem Korea yang bagus, cuma ianya bergenre romantis. Sampai aku dah bosan nak tengok drama Korea dan filem Korea, sebab terlalu romantis sehinggakan muak sangat teknik cerita dan jalan cerita hampir sama.

Ceritanya mengisahkan seorang pemuda berbangsa Korea tapi tak boleh cakap Korea duduk di Amerika bersama keluarga angkatnya. Pemuda ini bila sudah mencecah usia remaja mengambil keputusan menjadi askar Amerika dan meminta dihantar ke Korea. Ini adalah usaha yang diambil untuk mencari siapa ayah dan ibu sebenar dia.

Pelbagai usaha dilakukan. Akhirnya ada orang mengaku dirinya adalah ayah sebenar kepada pemuda itu. Ayah dia adalah seorang banduan, kesalahan dia adalah membunuh. Pemuda ini selalulah pergi melawat dia, walaupun dia tahu ayah dia adalah seorang banduan.

Bahagian menarik adalah konflik dimana ada orang muncul membawa cerita bagaimana ayah dia boleh masuk penjara, sudah tentu cerita yang dibawa adalah berbeza dengan apa yang telah diceritakan oleh ayah dia.

Dah…aku tak mahu cerita sampai habis. Pergi cari di kedai mana-mana. Belilah yang original.

Lupa nak cakap, cerita dibuat berdasarkan cerita sebenar. Aku dah jumpa artikel tentang pemuda ini dalam blog Korea.

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

[Bosan Lampau 01] Prescaloni And Montebello.

Walaupun filem-filem di siaran 122 Astro Kirana tak seberapa hebat berbanding HBO dan lain-lain, rasanya itu sudah cukup berbaloi isi masa malam minggu. Filem ‘Prescaloni And Montebello’ adalah kisah mengenai 2 pemilik pizza yang memiliki ramuan pizza berbeza, dan macam biasa elemen romantic diterapkan dalam filem sebegini.

Anak bujang dan anak dara mereka bercinta. Formula biasa, dalam sibuk nak bercintan-cintun, ada masalah. Tak ada masalah tak menariklah cerita mereka kan? Nampak macam bosankan jalan cerita dia kan…

Aku suka cerita ini sebab heroin dia kiut!!!

Aku macam pernah tengok heroin masa aku kecil dulu, tapi bukan tahap kecil dimana aku masih menggunakan botol susu. Bukan-bukan. Masa sekolah rendah, tak pun masa sekolah menengah, tak ingat.

Hari itu adik aku buka siaran Astro Fiesta, ada drama ‘rally’ Roswell. Ha, rupanya heroin yang aku cakap tadi adalah heroin drama bersiri Roswell. Tak ingat nama dia, nanti aku cari dalam Wikipedia.

Tak tipu, masa aku tengok Roswell, dia wanita paling kiut.

HAHA. Kebosanan mencipta kelainan.

Rabu, Januari 14, 2009

[Bilik Sejuk 04] “Kerana dirimu begitu berharga”

Trademark ‘Nasib baik ada kipas besar,’ terasa macam keperluan pula.

Ini entri dimana aku bukan watak utama, hanya watak pelakon sampingan membawa watak utama (Anip) melakukan misi dia.

Misi: Membawa iPhone dari pakciknya, dan menyerahkan kepada bapanya.
Watak Utama: Anip
Watak Sampingan: Adib, Pakcik Anip
Watak Antagonis: Lelaki buncit sebelah pakcik dia, Lelaki berbangsa India belakang pakcik dia, pekerja restoran mamak Syed di Subang, pengunjung yang ada di sekeliling.
Latar Belakang: Restoran Mamak bernama Syed.

Selepas Anip dan drebarnya menjamu selera di 1901 di Seksyen 7, Shah Alam, mereka meluru terus kearah kereta dan memecut dalam keadaan sederhana terus ke Subang. Selepas beberapa minit di Lebuhraya Persekutuan, mereka tiba lewat dari waktu yang mereka sepatutnya tiba.

(Dalam perjalanan ada masalah, tapi secara ringkas mereka selamat tiba)

Mereka bersalam-salaman bersama pakcik Anip, serta bertanya khabar. Dengan tidak semena-menanya, (beberapa minit selepas itu) pakcik Anip mengeluarkan iPhone dari plastic putih disisinya. Maka keluarlah iPhone dari bekas hitamnya. Pakcik Anip mahu menerangkan tentang barangan itu, tapi disebabkan makanan yang dipesan sudah tiba, dia menyimpan semula ke dalam bekas hitam tadi.

Menu: Roti Nan dan Ayam Tandoori
Tajaan: Pakcik Anip.

Sambil makan-makan, pakcik Anip mengeluarkan semula iPhone tadi. Maka bermulalah sesi ‘bagaimana menggunakan iPhone?’. Perhatian: iPhone ini ada cara tertentu untuk diakses. Sekali lagi iPhone dikeluarkan dari kotak hitam. Anip dan drebarnya khusyuk melihat dan mendengar sesi itu. Tapi perkara tak sedap hati berlaku…

Watak antagonis disekeliling mereka bertiga terpaku pada objek di tangan pakcik Anip. Seolah macam harimau berjumpa daging lembu yang telah disiat diletakkan ditengah padang lalang Afrika. Mata mereka terlalu takut untuk dilihat. Renungan mereka tajam…

Anip dan drebarnya rasa tidak sedap hati. (Dipendekkan memandang durasi filem pendek singkat) Selepas bersalaman semula, mereka terus berlari kearah kereta dan terus masuk. Masuk sahaja dalam kereta, mereka terus mengunci pintu. Takut-takut mereka akan dirompak.

Harta Anip pada ketika itu:
Kamera D80 – lingkungan RM 3500
iPod Touch – lingkungan RM 1000
iPhone – lingkungan RM 3000

Mereka meneruskan perjalanan dan selamat tiba di rumah.

“Kerana dirimu begitu berharga, anda boleh dirompak di mana-mana,”

Mesej: Jangan menunjukkan barangan yang mahal di dalam kedai mamak.

-TAMAT-

[Bilik Sejuk 03] Memutarkan masa.

Aku perasan satu benda. Bahasa melayu aku seharian bukan seperti bahasa biasa. Macam-macam ada unsur skema. Macam dalam buku. Aish.

Aku baru habis tengok drama Jepun, agak menarik jalan cerita dia. Malas nak ulas panjang, sebab nanti aku nak ulas sekali harung drama Jepun yang telah dipromosikan oleh Atip dan Guo pada bulan 12 tahun yang lalu. Kalau kamu baca, aku ucapkan terima kasih sebab promosikan drama Jepun yang terbaik kepada aku. Terima kasih!

Tak ada kaitan tajuk entri di atas.

Eh, macam ada.

Aku baru sahaja jumpa kawan lama sebaya dengan aku. Itu pun terserempak masa aku tengah baru nak susun selipar depan rumah. Aku ini jenis main campak sahaja selipar aku bila masuk rumah, tapi malas nak dengar leteran mak atau ayah aku, aku keluar kejap nak susun selipar semula.

Memang ditakdirkan tuhan, Dia Maha Kuasa. Sedang baru nak susun selipar, aku jumpa kawan sekolah rendah! Itupun setelah 5 tahun tidak berjumpa. Minat dia sama dengan aku, benda-benda berkaitan dengan automatif. Cuma jalan kami berbeza dan dia pun sudah kerja.

Manusia memang tak pernah bersyukur kan. Dia yang sudah kerja nak sambung balik belajar, aku yang belum habis belajar tangan macam dah gatal nak pegang duit sendiri. Aku memang cemburu dengan rakan sebaya sudah bekerja, apatah lagi dah boleh pegang tanggungjawab jaga anak orang (kahwin le). Lama juga kami berborak, lokasi depan rumah yang samar-samar sinar cahayanya.

Rupanya aku dah nak hampir masuk fasa dewasa. Kalaulah aku Nobita, aku nak rasa zaman sekolah rendah dimana waktu baliknya kami pekena cendol bawah pokok, makan roti canai cicah sambal cili selepas habis kokurikulum, main laga belalang sebelum kelas agama di waktu petang.

Aku merindui semua itu! Kalau masa dapat diputarkan…

Part yang tak bestnya, dia dah nak kahwin. Aku rasa watak aku macam Afdlin Shauki dalam filem Sepi…jangan, aku tak mahu seperti itu.

[Bilik Sejuk 02] Pakaian Mencerminkan Diri.

“Owh, ini yang balik dari jauhnya,”
“A’ah,”
“Ha, belilah banyak-banyak. Balik dari sana duit banyak,”
“Hmmm,”
“Nak apa?”
“Taufu fa gula merah 2, air soya bagi seringgit,”
“Ok. Kau ini balik ok saja. Pakaian biasa. Rambut tak ber’kaler’,”
“Nak macam mana lagi? Oklah ini. Jangan selekeh sudah,”
“Acik tengok budak sini tak pergi mana pun. Gaya macam pergi Amerika,”
“Jangan macam tu…(aku tak faham apa maksudnya),”
“Nah ini dia. Baguslah tak terjebak gejala sosial,”
“Ini duit dia,”
“Terima kasih. Bila balik sana?”
“Tengah bulan 2,”
“Belajar elok-elok,”

Lepas 2 minit aku berlalu dari situ aku gelak kecil. Sebab dia guna ayat ‘gejala sosial’. Dah lama tak dengar ayat itu. Selalu dengar pun dalam ceramah-ceramah sekolah tak pun dalam karangan stail skema nak bagi karangan kita nampak ‘educated’ sikit. Aku pun pernah buat…

Aku rasa satu perkara aku belajar hari ini, cara pemakaian kita di khalayak ramai. Aku bukanlah role-model kawasan kampung yang dinaik taraf ini. Agak ramai yang mengenali aku sebab aku membesar disini dari darjah 1 lagi. Kecil aku naik basikal sampai sekarang aku boleh merayau naik kereta. Lepas ini macam nak bawa jentolak masuk area ini pula.

Kekadang aku merepek tak tentu hala…

Aku anggap ini entri sampah. Tak ada kaitan mana-mana pihak. Sekadar entri menunggu matahari tegak.

[Bilik Sejuk 01] Eh, sejuk pula.

Alhamdulillah, cuaca semakin hari semakin sejuk. Tak perlu kipas besar dalam bilik untuk beradu. Siap kena pakai selimut pada malam hari. Aku bukan jenis suka berselimut ketika tidur, melainkan memang sejuk belaka.

Kipas besar dalam bilik masih menjadi teman ketika menaip isi-isi blog.

Sambil disulami lagu-lagu dari Ipod Touch, tak ada lagu-lagu baru. Gian nak dengar lagu baru berulang-ulang kali. Apa nak buat, pakai dial up je pun. Padan muka tak dapat bermain Facebook. Lagi tambah gian nak main segala aplikasi dalam Facebook. Wah!.

Maka dengan rasminya, cuti aku masuk dalam Fasa Kedua. Fasa-fasa hidup seorang penganggur yang bujang. Baru ingat nak cuba-cuba kerja di Mc Donald berhampiran rumah aku (tak adalah dekat sangat, sedang-sedang), mana tahu boleh cari pengalaman bekerja di restoran makanan laju (fast-food).

Rasa macam nak habiskan Fasa Kedua di rumah sahaja. Tengok adik kecil aku pergi tadika, balik tadika. Petangnya pula kena hantar mak aku pergi bank ke, beli lauk ke, bawa dia kemana seperti aku ini seorang driver tanpa gaji.

Masa-masa lebih aku belajar bahasa Jepun, tengok drama Jepun dan Korea, bermain Sudoku, baca novel, merayau di kala pagi mencari sarapan, baca surat khabar semua muka surat walaupun muka surat itu membincangkan penternakan lintah, cacing atau cipan sekali pun.

Sekian sahaja entri untuk Bilik Sejuk.

(Aku malas nak keluar rumah. Simpan duit untuk Fasa Ketiga cuti)

Jumaat, Januari 09, 2009

[Bilik Panas 10] Expect the Un-expected.

Horoskop untuk si-Scorpio pada bulan ini.
(Aku tak percaya sangat benda ini, sekadar selak-selak dalam majalah REMAJA di kedai buku mini sebelah kedai mamak)

Sudut ekonomi:
(Lebih kurang macam begini bunyinya)
Duiy yang anda simpan untuk hari baik anda terpaksa anda keluarkan.

Isk, betul rupanya.

Padan muka, balik cuti jauh-jauh tak bawa balik duit saku sendiri. Terpaksa belanja tahap kelas ekonomi.

Itu saja.

Kena belanja tahap apabila perlu.

Kadang-kadang duit kita akan keluar apabila terdesakkan. Berlaku pada hari itu. Sood dan Pak Nab tahu apa yang berlaku. Kita jangka seorang, tapi empat yang datang.

Nasib baik tak berapa sangat, aku memang bersyukur malam itu.

Dan…Sood gelak tentang situasi aku. Kalau tengok muka aku di kala itu, aku pun nak tergelak.

Tak faham kan?

Macam begini, aku ingat nak belanja seseorang kenalan lama. Tapi si kenalan lama bawa 3 orang pula. Macam tahu-tahu aku nak belanja dia ini.

Aku tarik nafas, nasib baik diorang datang dah makan. Tak tahulah, kalau mereka menipu atau berlapik. Perempuankan cakap dia, un-direct. Kena fikir sendiri apa situasi dan ayat yang mereka ungkapkan.

Sood, kau memang ‘shit’ gelakkan aku malam itu.

Tak apa, nasib baik ada kipas besar. Malam-malam semakin dingin. Hujan sudah turun di senja hari.

[Bilik Panas 09] Lupa, lupa, lupa…

Adeih. Terlalu banyak benda sepatutnya aku ingat tapi lupa.

Sejak aku selalu makan nasi berlauk tiap-tiap hari di Malaysia, fikiran aku macam kurang tajamlah. Sudah jadi masalah besar rasanya…

01
Aku selalu lupa samada aku sudah gosok gigi ke belum pada waktu malam. Banyak kali aku buat kopi selepas aku gosok gigi pada malam hari. Kena minum juga, tapi kena gosok gigi sekali lagi. Rasa membazir ubat gigi dan air bersih untuk kumuhan.
LUPA!

02
Aku tekan-tekan pedal minyak, tapi kereta tak jalan. Owh, rupanya aku tak masuk dalam fasa D. Berbunyi menderum-derum kereta. Nasib baik tak maki hamun orang belakang. Bukan 3 kali aku sebegini, dah berulang-ulang kali, lebih 10 kali pun ada. Isk, aku dah rasa tahap bahaya.
LUPA!

03
Tak tahulah benda ini biasa ke tidak bagi kamu. Lupa letak di mana handset aku. Di Korea, aku memang selalu letak handset aku disebelah aku walaupun tak ada SMS atau panggilan yang masuk sebab dalam handset aku ada macam memo. Aku bukan jenis 24 jam tangan menaip SMS ye. Hari itu ada 25 SMS tak berbalas, ini lupa punya pasal letak handset di mana. Maka dengan itu, aku minta ampun kepada kawan-kawan aku di Malaysia yang SMS mereka tak berbalas. Cik Krusye, SMS sekali lagi boleh?.


…mengeluh…

Aku hari itu jalan-jalan di kedai buku Popular di Jusco Klang. Jumpalah buku SUDOKU GAME, depan muka buku itu tulis SUDOKU GAME: LEVEL- AMAT SENANG.

Aku belilah buku itu, untuk minda katakan. Balik rumah bolehlah isi masa lapang menunggu bola ke, berchatting ke, apa ke, sebelum masuk tidur…

…mengeluh sekali lagi…

Amaran: Buku ini mampu membuatkan anda boleh menghempas buku itu ke dinding, rasa mual, tak lalu nak makan, tak boleh tidur malam, mulut berkata ‘susah giler’ setiap kali selak muka surat, dan lapik cawan kalau-kalau air Milo tertumpah.

Susah! Berasap kepala.

Pergh, nasib baik ada kipas besar. Kalau tidak, aku nak koyak buku ini…

[Bilik Panas 08] Kawan Kahwin.

Dah lama nak cakap pasal benda ini, tapi masa nak cakap tak keluar idea pula. Sebenarnya, sekarang pun tak ada idea! Aku suka kehidupan di Malaysia yang semakin baik hari demi hari. Mana taknya, aku dah boleh meyakinkan abah aku supaya melepaskan kereta Iswara lama dia untuk aku berjalan-jalan di area Klang. Yes, antara benda yang aku plan akhirnya terlaksana.

Aku pakai alasan kawan aku nak kahwin, supaya aku boleh cuba-cuba menghafal jalan kawasan Klang.

Mengenai perkahwinan kawan aku ini. Soalan lazim biasanya untuk si pengantinnya adalah “Apa perasaan dah kahwin?”, tapi aku segan pula nak tanya. Entah kenapa, lain kalau aku jadi ‘reporter’ majalah hiburan. (Apa pasal aku kerap sangat menggunakan frasa majalah hiburan ha sejak kebelakangan ini?)

Ok, cuba tanya apa perasaan menghadiri majlis perkahwinan kawan sendiri.

Pertama kali, aku ‘excited’. Yelah, selama ini pergi majlis nikah macam nak tak nak sahaja. Bukan apa, panas. Orang ramai satu hal, makanan sudah pasti berminyak-minyak (nasi minyak ada minyak kan?). Makcik sendiri kahwin lain cerita pula, terpaksa hempas pulas belakang dapur. Isi air, kemas meja. Tapi sekarang aku menghadiri majlis nikah kawan sebaya pula. Wow.

Ayat muda-mudi “Respek syal kawen awal!”, secara jujurnya aku memang menghormati orang yang sebaya dengan aku dah ambil jalan menerima tanggungjawab besar iaitu berkahwin. Aku masih tunggang langgang dengan kehidupan tak terurus. Masih menganggap aku terlalu muda untuk kearah itu. Ditambah lagi factor-faktor kecil seperti tidak puas dengan kehidupan muda-mudi yang mencucuk langit.



Mungkin aku patut berhenti…

…bermain game lewat malam, bangun tidur pada matahari tegak, dan sebagainya.

Memang betul ayat yang aku pernah dengar baru-baru ini.

Isteri solehah bukan untuk dicari, tapi kita mengubah siapa kita. Suami solehah untuk isteri solehah. Amin…

Banyak perkara seronok berlaku pada majlis nikah Shahril dan Senah. Yelah, yang datang nak tengok orang sebaya dengan aku. Umur 21 tahun (sekarang 2009 maka tambah satu lah kan). Macam budak hingusan duduk belakang imam dengan kamera besar cuba berlagak dewasa. Tak jadi rupanya.

Aku masih budak hingusan.

Nasib baik ada kipas besar. Sejuk malam ini, sebab baru turun hujan. Matikan saja suis kipas besar.

(Nak letak gambar majlis nikah itu, tapi apakah daya dengan dial-up dari rumah)

Isnin, Januari 05, 2009

[Bilik Panas 07] Orang lain pun kahwin juga.

“World!”

Maksudnya kamu sudah tahu. Itu trademark Mawi. Walaupun aku selalu membotakkan kepala pada tahun 2008, itu bukan simbolik aku menyanjung Mawi, ok. Cuma aku nak cakap, pengaruh ‘World’ sampai ke bini dia, Ekin.

Kalau tengok iklan di TV, balik-balik adegan Ekin dan Mawi baling bunga merah. Mawi baling pada Ekin, Ekin baling pada Mawi. Memanglah romantik. Tak tipu, tapi setiap kali aku buka TV ada muka mereka, dah muak.

Ini perbualan dalam kereta, bersama dengan adik lelaki aku. Bawa dia pergi mencari kasut sempena sesi persekolahan dia yang baru:

Aku: WORLD!
Dia: Eh, ko minat Mawi ke?
Aku: Lol, bagi album selori pun aku fikir 2 kali.
Dia: World…balik-balik muka dia.
Aku: Tertanya-tanya aku…
Dia: Apa dia?
Aku: Siapa ha minat Mawi? Macam fanatik ke. Pelik aku.
Dia: Ada lah.
Aku: World.
Dia: World…

Tak kisah Mawi nak kahwin ‘gempak’ habis, siap ada kuda kepang ke apa ke. Cuma kalau Mawi baca blog ini, aku pesan jagalah perkahwinan dia dan ubah persepsi orang macam aku…

Aku beranggapan orang yang kahwin ‘gempak’ ini, macam ada kemungkinan nak cerai.

Persepsi aku betul pada Erra-Yusri dahulu kala.

Isk, tak baik doa suruh orang cerai.




Aku ni dah macam ruangan mulut laser dalam akhbar hiburan setiap minggu hari Ahad.


Panas sungguh bilik ini, nasib baik ada kipas besar.

[Bilik Panas 06] Secara tak rasminya, lah.

Yeah, umur bertambah setahun secara tak rasmi. 2 tahun lepas aku sudah masuk golongan puluhan tahun. Sekarang merangkak masuk ke-22. Terasa masa cepat berlalu, tapi macam perangai aku tak ubah budak belasan tahun.

Rasa segan pun ada.

Aku rasa selama ini aku terlalu bagi harapan pada manusia yang rapat dengan aku. Kadangkala aku rasa takut untuk bersemuka dengan mereka. Mana tidaknya, mereka umpama menunggu gunung gula, mana ada.

Soalan lazim, apa azam baru 2009?

Hah? Kamu apa dia azamnya? Aku rasa dah bosan nak berazam. Andaikata aku seorang artis, pasti ditanya soalan lazim menjelang tahun baru. Apa aku nak jawab?

Tak dijawab, dikata tak mesra wartawan (masih berfikiran aku seorang artis). Dijawab pula, aku kena tunaikan. Apa jalan terbaik nak elak soalan ini? Nasib baik tak ada orang nak tanya setakat ini. Kalau dalam ruang komen kamu tanya, aku akan abaikan walaupun kamu kawan rapat aku. Peduli apa.

Maal Hijrah hampir dekat dengan New Year.

Soalan trick Yan kepada aku, aku masih dapat hidu cara kamu menguji aku. Haha.

Siapa pergi dataran Shah Alam tahun baru? Tak bunga api erk? Nasib baik aku tak pergi, penat bawa orang berjalan-jalan siang 31 Disember.

Ada tilam lendut, bantal panjangnya dari kaki ke kepala. Berlengging dalam bilik. Sedap tidur dalam suhu bilik suam-suam panas. Ala, bujang katakan.

Nasib baik ada kipas besar. Kalau tidak macam sauna.

[Bilik Panas 05] Rupanya macam ini…

Jadi cucu sulong ini tak tahu itu suatu yang baik atau tidak. Memang agak malang orang macam aku, dahlah sudah anak sulong, ditambah lagi dengan status cucu sulong.

(Baru aku perasan, macam mana nak mengeja sulong? Ke sulung?)

Putar masa ketika aku balik ke Malaysia dulu, imej rambut panjang hampir menutup telinga. Wow, begitu ramai pengkritik-pengkritik undangan dari segenap lapisan saudara-mara. Paling panas sekali, bila disertakan dengan ayat belakang yang ada unsure peril.

Seperti:

“Cucu oi, tak ada duit ke nak gunting rambut? Nenek leh bagi duit.”

“@#$$&^%@$^#&&@%&” (dalam bahasa Jawa)
Maksudnya, orang lain belajar jauh juga. Tapi kemas rambut mereka.

“Ni fesyen duduk sana ke? Tengok kat TV tak ada rambut macam kau”



……dan banyak lagi.


Tahun 2008 menyaksikan aku dah tak pernah rambut panjang. Mungkin disebabkan adanya mesin gunting rambut kepunyaan Anas di rumah aku. Tengok mesin itu, tangan rasa gatal nak me-mesin rambut.

6 hari sebelum aku balik Malaysia, aku pergi salon dandan rambut. Itu pun nasib baik ada orang ramai. Aku tak suka pergi salon seorang diri, sebab salon itu banyak pendandan wanita. Kalau datang seorang diri, habis dikerumun aku segala pendandan wanita ada disitu melihat aku yang berkulit gelap (dah mereka orang Korea, semua putih). Sibuk tanya aku samada mereka cantik atau tidak.

Dengan kata lain, mereka dahagakan pujian.

Antara sebab lain aku tak suka pergi salon dekat rumah aku sebab mereka pendandan wanita. Kalau boleh mereka nak ikut gaya ala-ala macam kewanitaan. Tak terlalu kasar, sebab itu artis Korea seperti DBSK ada rambut ala-ala feminin.

Tapi kali ini aku cuba letakkan kepercayaan mereka mengubah suai rambut aku, agar tidak dikritik oleh nenek aku (adik laki aku paling kena teruk, sampai merajuk nak balik kampung!).

Keputusannya, owh!. Nenek aku memuji aku, “Macam ini baru kemas rambut!”

Sebenarnya, masa di salon, aku minta pendandan itu memotong gaya ala-ala pemain bola sepak Jepun, Hidetoshi Nakata. Pelaburan berbaloi. Terima kasih salon Huan Hair.

Huh.

Nasib baik ada kipas besar. Kalau tidak panas bilik ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...